Tuesday, September 16, 2008

PM terima peletakan jawatan Zaid


KEPALA BATAS 16 Sept. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menerima peletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Perdana Menteri, beliau telah dimaklumkan oleh Zaid melalui panggilan telefon pagi tadi bahawa beliau tidak dapat meneruskan kerja lagi.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, beliau masih belum membuat keputusan mengenai pengganti Zaid.

"Dia beri tahu yang dia tak dapat meneruskan kerja dia dan dia hendak letak jawatan. Saya kata kalau dah itu pilihan dia yang jelas dan nak letak jawatan, silalah letak jawatan.

"Apa jua alasan, biar dia memberikan alasan untuk dia meletakkan jawatan, saya tidak ada komen,'' kata Perdana Menteri pada sidang akhbar selepas Majlis Dermasiswa dan Sumbangan Hari Raya Yayasan Budi Penyayang di sini hari ini.

Hadir sama ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah, anaknya, Nori serta menantunya, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif yayasan berkenaan, Datuk Leela Mohd. Ali.

Pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Zaid menegaskan, keputusan meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kekal walaupun Perdana Menteri meminta beliau supaya memikirkan semula keputusan itu.

Ditanya mengenai alasan Zaid bahawa beliau tidak mendapat sokongan untuk melakukan perubahan, Abdullah berkata, apabila menjadi Menteri, pasti ada masalah dan kesusahan yang terpaksa dihadapi.

Namun, katanya, seseorang Menteri perlu bersabar kerana bukan senang untuk melakukan sesuatu perubahan.

Biarpun begitu, katanya, pembaharuan itu akan diteruskan oleh kerajaan.

Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Sanglang di Perlis dimenangi oleh Pesuruhjaya Pas negeri itu, Hashim Jasin, Perdana Menteri berkata, kerajaan menerima keputusan yang diputuskan oleh mahkamah.

Terdahulu di Putrajaya, Abdullah berkata, reformasi sistem kehakiman yang sedang dilakukan kerajaan akan diteruskan meskipun tanpa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dalam Kabinet.

Katanya, ini kerana kerajaan tidak bergantung kepada mana-mana individu tertentu sehingga menyebabkan sesuatu perancangan dan usaha tidak dapat dilaksanakan.

''Sama ada dia ada atau tidak ada, apa yang dirancangkan itu saya ingin melaksanakannya," ujarnya.

''Kerajaan tidak bergantung kepada mana-mana individu tertentu, sehinggakan kalau dia tidak ada, kerajaan akan jatuh dan lemah," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan mengadakan pertemuan dengan semua ketua setiausaha kementerian di pejabatnya di sini hari ini.

No comments: