Monday, December 22, 2008

SRIKANDI MUJAHIDAH DI TERATAK SAYYID QUTB

Hasrizal Abdul Jamil

www.saifulislam.com

Sayyid Qutb adalah seorang tokoh yang amat mesra bagi mereka yang terjun ke medan dakwah. Penulisan-penulisannya menjadi panduan dan sumber inspirasi kepada para petugas Islam. Karangan beliau seperti Tafsir Fi Dhilal al-Quran dan Petunjuk Sepanjang Jalan, menjadi teman akrab pendakwah untuk menyalakan suluhan tarbiah Islam. Perjuangannya di dalam Ikhwan al-Muslimin bersama rakan-rakan seperti Hasan Hudhaibi, adalah lanjutan kepada momentum yang telah dicetuskan oleh pengasasnya al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna.

Namun, tidak ramai yang berpeluang mengenali kehidupan Asy-Syahid Sayyid Qutb secara mendalam. Tidak banyak maklumat yang diketengahkan kepada pembaca tentang latar belakang keluarganya yang sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada pembentukan peribadi dan kualiti diri Asy-Syahid malah kemudiannya turut terkesan dengan ketokohan Asy-Syahid itu sendiri.

Di dalam kesempatan ini, kita akan mengambil peluang untuk mengenali tokoh srikandi yang menjadi sendi penting di dalam ketokohan Asy-Syahid Sayyid Qutb itu sendiri. Semoga ia menjadi dorongan kepada wanita muslimah hari ini untuk menggembeleng peranan dan potensi mereka ke arah produksi lebih ramai insan luar biasa seperti Asy-Syahid Sayyid Qutb di tengah-tengah gelombang cabaran akhir zaman ini.

Bonda Sayyid Qutb berasal dari sebuah keluarga yang mulia. Beliau berkahwin dengan Qutb Ibrahim, ayahanda kepada Sayyid Qutb sebagai isteri kedua, tinggal bersama-sama Qutb Ibrahim seketika di Kaherah sebelum pulang ke kampung bersama keluarganya.

Bonda Sayyid Qutb mempunyai empat adik-beradik lelaki, dua daripadanya menuntut di al-Azhar asy-Syarif. Salah seorangnya dikenali sebagai Ahmad Husain Othman yang lebih dikenali sebagai Ahmad al-Moushi, nisbah kepada perkampungan Moushah. Ketika Sayyid Qutb menuntut di Kaherah, beliau tinggal bersama bapa saudaranya ini, Ahmad al-Moushi.

Sayyid Qutb dibesarkan oleh bondanya yang memiliki kesempurnaan sifat sebagai seorang wanita yang solehah dan berjiwa kental. Beliau seorang yang pemurah dan banyak bersedekah. Beliau gemar memasakkan makanan untuk pekerja-pekerjanya di ladang serta tetamu-tetamu yang datang mengaji di rumah beliau. Bonda Sayyid Qutb tidak pernah mengganggap semua ini sebagai bebanan kerana beliau menjadikan amalan ini sebagai usahanya mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amalan seperti ini sememangnya menjadi tradisi isteri kepada pejuang-pejuang Islam khususnya di rumah-rumah dan pondok pengajian. Bukan sahaja kesetiaan menuntut ilmu dan bekerja yang terhasil malah kesemua yang bernaung di bumbung itu terikat dengan perasaan kasih sayang yang terpercik dari sifat pemurah dan penyayang wanita solehah yang menjadi srikandinya.

Bonda Sayyid Qutb juga amat gemar mendengar bacaan al-Quran malah beliau amat mudah terkesan dengan ayat-ayat yang dibacakan itu. Hal ini dijelaskan oleh Sayyid Qutb di dalam bukunya at-Tasweer al-Fanni fi al-Qur’aan: “Setiap kali engkau asyik mendengar tilawah al-Quran dari belakang tabir oleh para Qurra’ yang datang mengaji ke rumah kita di sepanjang bulan Ramadhan, seandainya aku tercuai dan ingin bermain-main seperti kanak-kanak yang lain, engkau akan mengisyaratkan kepadaku dengan tegas sehingga aku terdiam dan turut menyertaimu mendengar bacaan itu. Dari situlah jiwaku mula meneguk irama al-Quran walaupun dengan usiaku yang masih kecil, belum mampu memahami makna bacaan itu…

Ketika aku membesar di dalam penjagaanmu, aku telah dihantar ke Madrasah Awwaliyyah di kampung. Harapan terbesarmu kepadaku adalah supaya Allah membukakan jalan kemudahan bagiku oleh Allah untuk aku menghafaz al-Quran dan direzekikan kepadaku suara yang lunak untuk membacanya. Sesungguhnya semenjak itu aku sentiasa membacakan al-Quran bagimu di setiap masa dan setiap ketika…

Kini engkau telah pergi meninggalkanku, wahai bonda tersayang. Gambaran terakhir dirimu yang sentiasa segar di ingatanku adalah samar-samar dirimu yang sering duduk di hadapan radio, mendengar keindahan bacaan-bacaan al-Quran. Amat jelas pada lekuk-lekuk wajahmu yang mulia, tanda-tanda mendalamnya ertimu terhadap makna yang tersurat lagi tersirat kalimah al-Quran itu, dengan hatimu yang agung dan perasaan halusmu yang merenung.” [ms 5, at-Taswir al-Fanni fi al-Quran, Dar ash-Shurooq, tanpa tarikh].

Sayyid adalah anak sulung lelaki beliau di samping anak-anaknya yang lain iaitu Aminah, Hamidah dan Muhammad. Wanita berjiwa besar ini telah membesarkan anaknya, Sayyid, dengan penuh ketelitian. Pada “Sayyid”lah beliau letakkan segala harapan, lantas anaknya ini dibesarkan dengan iman, kemuliaan dan latihan pendedahan memikul tanggungjawab. Malah bonda Sayyid Qutb mahukan anaknya ini menjadi dewasa lebih awal dari masa biasanya. Sayyid sentiasa ditiupkan jiwa kedewasaan sehingga beliau acapkali menjauhkan diri dari suasana kebudak-kebudakan yang mengiringi zaman kanak-kanaknya.

Sesungguhnya bonda Sayyid Qutb telah menggabungkan dua unsur penting yang membina keperibadian mujahid dan mujaddid ini. Beliau limpahkan sepenuh rasa kasih sayang dan kemanjaan seorang ibu kepada anak, tetapi kasih sayang itu disiram dengan keakraban al-Quran. Kasih sayang itu bukanlah kemanjaan yang membinasakan proses pembinaan syakhsiah jati diri anaknya kerana di dalam kemanjaan itu, bonda Sayyid Qutb membina keyakinan diri yang tinggi di dalam diri anaknya supaya membesar sebagai seorang yang berjiwa tinggi.

Bonda Sayyid Qutb kembali ke rahmatullah pada tahun 1940. Kematiannya memberikan impak yang amat besar kepada Sayyid Qutb. Ia dibayangkan menerusi ungkapan beliau di dalam tulisannya al-Atyaaf al-Arba’ah ms. 168 [oleh Sayyid Qutb dan adik beradiknya, terbitan Beirut 1967M tanpa nama penerbit]:

“Bonda…

Siapakah selepas ini yang akan menceritakan kisah zaman kanak-kanakku, seakan-akan ia suatu peristiwa yang baru semalam berlaku? Siapakah lagi yang akan membayangkan kepadaku zaman muda untuk dibawa kembali bayangannya kepada kehidupan dan diundang semula kepada alam wujud ini buat kali yang seterusnya?

Engkau telah memberikan gambaran terhadapku bahawa diriku adalah insan yang istimewa semenjak aku masih di dalam dodoian buaian kehidupan. Kau sering hikayatkan kepada diriku tentang impianmu yang lahir dengan kelahiranku, yang merangkak-rangkak terserap ke dalam jati diriku bahawa aku seorang yang mulia. Ia telah tergalas di atas diriku sebagai suatu tanggungjawab yang besar dan semua ini adalah dari tatih impianmu terhadapku dan ‘wahyu’ bisikan hatimu. Siapakah nanti yang akan membisikkan kepadaku khayalan-khayalan yang membara itu? Siapakah lagi yang akan meniupkan dorongan ke dalam hatiku..?.”

Amat benarlah bagai yang dikata pepatah: “tangan yang mengayun buaian itu bisa menggoncang dunia”. Sentuhan tarbiah tangan seorang ibu telah melahirkan seorang mujahid seperti Sayyid Qutb, yang limpahan hikmahnya terus mengalir deras ke jiwa pejuang Islam, di sepanjang zaman…

- Diolah semula dari kitab Sayyid Qutb: Min al-Meelaad ilaa al-Istisyhaad karangan Solah Abdul Fattah al-Khalidi [Darul Qalam, Damascus, 1994M]

Wednesday, December 17, 2008

WAJIB MEMBUNUH BINATANG BERBISA KETIKA SOLAT

Ibnu hajar Al Asqalani menyatakan wajib membunuh binatang yang berbisa ketika solat berdasarkan hadith sahih riwayat 4 imam hadith yang bermaksud:-

" Dari Abi hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda, bunuhlah dua yang hitam ketika kamu sedang solat, iaitu ular dan kala jengking" (Hadith Riwayat 4 imam hadith dan disahihkan oleh ibnu hibban).

Berdasarkan kaedah usul Fiqh, asal sesuatu perintah itu wajib. Maka hukum membunuh binatang yang berbisa itu ketika solat adalah wajib apatah lagi ketika diluar solat( sekiranya membahayakan nyawa manusia).

Perkataan ular dan kala jengking itu dikiaskan kepada binatang yang berbisa, maka wajib membunuh binatang yang berbisa selain ular dan kala jengking asalkan ia berbisa dan boleh membahayakan nyawa manusia.

Adapun pun pendapat yang mengatakan sunat adalah bagi keadaan yang tidak membahayakan ketika solat, yakni binatang berbisa itu diyakini tidak mengganggu atau membahayakan nyawa seseorang yang sedang solat.

Adapun untuk membunuh binatang berbisa itu, seseorang itu dibolehkan bergerak kekiri, kekanan, kedepan dan kebelakang serta mengambil apa2 sahaja objek yang keras (kayu, besi dan sbgnya) yang boleh digunakan untuk membunuh binatang berbisa itu.

Dan setelah membunuh binatang yang berbisa tersebut, seseorang itu boleh meneruskan solat tanpa mengulang semula solatnya.. Dan solatnya sah.

Tentang pergerakan dalam solat, iaitu bergerak kekiri, kekanan, kedepan dan kebelakang adalah berdasarkan hadith sahih dari aisyah r.a yang pernah meminta nabi membuka pintu sedang nabi sedang bersolat didalam rumah ( *aisyah tidak tahu nabi sedang bersolat), nabi pun melangkah kehadapan beberapa langkah dan membuka pintu dan setelah itu, mengundur beberapa langkah, dan Aisyah melihat nabi meneruskan solatnya(tanpa mengulangi solatnya). (Kedudukan pintu adalah arah kiblat.)


Untuk mendapatkan penjelasan yang lanjut, Sila rujuk :-

Kitab Bulughul Maram, Ibnu Hajar Al Asqalani.


NABI PERNAH SOLAT SAMBIL MENDUKUNG ANAK KECIL

Ramai yang bersikap menghentam dan mengkritik sesuatu yang dianggap baru mereka, sedang ia tidak pernah membelek dan meneliti bahawa adakah sesuatu perkara itu benar atau pun salah(batil), Bahkan yang lebih menyedihkan, mereka dengan cepat menghukum orang yang tidak sependapat dengan mereka seterusnya mereka menyesatkan orang yang mengajar atau menyampaikan atau membawa perkara tersebut dalam masyarakat. Tidak cukup dengan menyesatkan orang, mereka memulaukan orang-orang yang bercanggah pada pandangan mereka.

Ini lah nasib malang yang menimpa umat manusia yang menggelarkan diri mereka sebagai seorang islam padahal tingkah laku mereka tidak menggambarkan sedemikian.

Imam As son'ani dalam mensyarahkan kitab bulughul maram, karangan Ibnu Hajar Al-Asqalani telah menyatakan bahawa boleh atau mubah seseorang yang solat sambil mendukung anaknya yang kecil. Ini berdasarkan hadith sohih riwayat imam bukhari dan muslim yang bermaksud.

" Dari Abi Qatadah berkata, Adalah nabi S.A.W ketika baginda solat mendukung umamah binti zainab, maka apabila baginda sujud baginda meletakkannya, dan apabila berdiri, baginda mendukungnya."
(HR muttafakun 'alaih.. )


Imam muslim menambah,

"dan baginda (ketika melakukan perkara tersebut) menjadi imam di masjid"

- Hadith di atas merupakan hadith fi'li kerana dihadapan nya ada perkataan "kaana".
- Umamah binti Zainab adalah cucu Nabi.
- Perkataan "kaana" adalah membawa maksud perkara tersebut pernah berlaku, dan ia tidak berulang-ulang. Dan perkara ini hanya berlaku sekali sahaja dalam hayat Nabi.


Imam As Son'ani dalam syarahnya menolak pendapat imam atau ulama' yang menasakhkan hadith ini, bahkan beliau juga menolak pendapat yang mengatakan bahawa perkara ini hanya boleh dilakukan ketika darurat. Apa yang jelas disini ialah perkara ini dilakukan nabi dan ia boleh dijadikan dalil bagi membolehkan Solat sambil mendukung anak kecil.

As Son'ani juga memetik kata2 Imam As syaukani dalam kitab Fathul 'Alam, ketika orang bertanya imam As syaukani tentang perlakuan orang yang mengambil serban yang jatuh ketika solat dan memakainya. As Syaukani menjawab dengan soalan, Apakah salah kamu mengambil serban yang kecil ini jika nak dibandingkan perbuatan nabi mengangkat serta mendukung umamah ketika solat.( As Syaukani merujuk kepada hadith diatas).

Jelaslah disini perbuatan mendukung anak kecil ketika solat adalah dibolehkan.


Untuk mengetahui perkara ini dengan lebih lanjut, anda boleh merujuk kitab Bulughul Maram, karangan Ibnu hajar Al Asqalani dan Buku Pelik tapi benar karangan Us. Abdul Rahman Mohamed.


Al Faqiru ilallah,

Raja Nor Azrin Raja Yunus.



Sunday, December 14, 2008

SIKAP FANATIK MENUTUP PINTU KEBENARAN!!

Salam ukhuwah fillah,

Alhamdulillah, aku masih diberi kesempatan untuk menulis setelah sekian lama membisu lantaran keterbatasan untuk mengakses internet ketika berada di kampung... setinggi2 kesyukuran kepada Allah kerana masih memberi kekuatan kepada diri ini yang lemah dan jahil ini untuk terus memperjuangkan agamaNya.....

Pada kali ini aku ingin menyentuh sedikit sikap fanatik yang wujud di kalangan mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pengikut Ahli Sunnah wal Jamaah dan dalam masa yang sama menyesatkan orang yang tidak sefahaman dengan mereka.. Hal ini berlaku di kampung ku.... Apa yang menyedihkan ku ialah sikap fanatik mereka telah meletakkan diri mereka mengatasi Kemuliaan DAN kemaksuman nabi Muhammad S.A.W... Apakah patut mereka menolak hadis sohih semata2 untuk mengikuti pendapat tok guru mereka???

Alhamdulillah, kesempatan balik kampung aku manfaatkan untuk memberikan sedikit pengisian ilmu untuk orang kampungku....., kebetulan rumah ku berhampiran dengan surau dan aku sering menjadi imam disana..... niat ku adalah satu, hanya untuk memperbetulkan masalah umat dan sikap fanatik dalam beragama sehingga melupakan nas yang sohih lagi benar dan terkadang menolak hadis sohih.... masalah ini bukan masalah kecil, ia masalah besar yang harus di tangani secara bijaksana tapi ia agak rumit memandangkan dikampung ku ada sebuah pondok pengajian agama yang menjadi pusat tarbiyyah dan rujukan ilmu agama......

Aku berkongsi sedikit pernyataan para imam mazhab mengenai pendapat mereka yang menolak bertaqlid secara membabi buta, bahkan memberikan keterbukaan kepada pengikut mereka untuk menilai kembali samada ia bertepatan dengan sunnah atau bercanggahan, dan seterusnya menyuruh kita menolak pendapat mereka yang bercanggah dengan dalil yang lebih sohih dan berpegang pada dalil yang sohih....

Asasnya cukup mudah, iaitu AL Quran dan As Sunnah adalah kayu ukur kepada kebenaran, siapapun yang mengeluarkan pendapat atau ijtihad sedang ia bercanggah dengan Al Quran dan As sunnah, maka pendapat itu tertolak.... itu lah antara kesimpulan yang boleh dibuat dari pernyataan para imam 4 mazhab......

Seperti kelaziman, biler kiter bercakap soal percanggahan, maka sudah tentu ada contohnya.... kebetulan buku rujukan yang aku gunakan untuk berkongsi dengan orang kampungku adalah buku sifat2 solat nabi muhammad, karangan muhammad Nasiruddin Al Bani, seorang yang pakar dalam bidang hadith..... dan kebetulan, dalam buku tersebut disebutkan satu hadith tentang larang solat mengadap kubur sebagai mana hadith yang di riwayatkan oleh Muslim, Abu Dawud dan Ibnu Khuzaimah yang bermaksud.... (Ms98)

" Jangan lah kamu solat mengadap kubur dan duduk diatasnya"

Perkara ini diulas oleh Al bani dalam kitab Ahkamul Janaiz...

Dalam riwayat sohih yang lain nabi pernah solat jenazah di atas kubur, hal ini memberikan makna bahawa solat yang dilarang adalah solat selain solat jenazah.....termasuk solat sunat atau solat fardhu.....

Hal ini juga diulas oleh Al Imam Asyafie dalam kitab Al Umm(edisi ringkasan, bab tempat yang boleh dan tidak boleh solat)...... As syafie meggunakan dalil sohih hadith riwayat abu dawud yang maksudnya :-

" semua tempat itu adalah masjid ( yakni dibolehkan solat) melainkan kuburan dan kamar mandi"

untuk ulasan yang lebih panjang, boleh rujuk kitab al Umm, edisi ringkasan, Ms 143.... perkara ini dihuraikan secara detail oleh Imam Assyafie...


Tetapi malangnya, amalan ini sudah menjadi kebiasaan dikalangan tok guru pondok dan pengikut2nya sedang Nabi jelas melarang perbuatan tersebut.......

justeru, biler aku utarakan perkara ini, ia telah menimbulkan kemarahan puak2 pondok......kerana amalan ini sudah menjadi amalan guru2 mereka..... pada fikiran mereka, mana mungkin tok guru mereka salah atau silap.... inilah sikap fanatik yang menyebabkan mereka menolak hadith sohih demi mempertahankan kebatilan dari guru2 mereka.....

oleh kerana marah dengan teguran ku itu, maka mereka memanggil tok guru pondok untuk mempertahankan amalan yang batil itu..... BUkan sahaja mereka mempertahankan amalan yang batil, bahkan menyesatkan orang yang menolak amalan mereka.... kerana pada fikiran mereka ia amalan yang baik, yang di amalkan oleh guru2 mereka yang terdahulu yang alim lagi wara'.....

hal ini menyebabkan orang kampung memandangkan aku negatif dan sesat... sehingga ada segelintir yang mufaroqoh biler aku menjadi imam..... Namun, aku tidak putus asa..... selagi aku hidup, aku akan tetap teruskan perjuangan yang kurasa berat ini.... malah ini bukan lah ujian pertama aku bagi aku...... sudah beberapa kali aku di uji dengan perkara sebegini.... Demi menjaga kemaslahatan, aku berdiam diri dan mengubah strategi, aku gunakan dakwah secara fardi.... kerana ini bagiku lebih sesuai berbanding pendekatan terbuka yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dikalangan orang kg....

seandainya amalan ini bagus dan baik, sudah tentu Nabi, para sahabat dan para salafussoleh sudah tunjukkan kepada kita.... Namun tiada sebarang dalil yang sohih untuk membenarkan amalan solat di atas kubur....malah ia dilarang oleh Nabi dan para salafussoleh termasuk imam Assyafie sendiri......

Untuk makluman, amalan solat diatas kubur sudah menjadi kebiasaan kepada mereka( puak2 pondok) , antara amalan lain ialah amalan tunggu kubur, solat terawih di atas kuburan dan sebagai nya......

justeru, saya ingin mengajak sahabat sekalian untuk sama2 kita berpegang pada Al Quran dan As Sunnah, dan jangan lah sesekali kita ingkar kepada keduanya, semata2 untuk mengikuti pendapat tok guru atau ustaz atau mereka yang kita percaya pada nya.....

JAUHILAH SIKAP FANATIK.... KEMBALI LAH KEPADA AJARAN YANG SEBENAR....